FORUM BESTARI

Ukhuwah Tetap Segar Di Hati Walau Jauh Di Mata

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Latest topics

» MUKTAMAD: SPM Hanya 10 subjek mulai tahun depan
Wed Feb 03, 2010 7:53 am by Syahratul-nisa'

» Ak sgt bimbang..
Mon Dec 21, 2009 10:51 pm by curve

» 10 Surah Yang Mujarab Dari Nabi Muhammad s.a.w
Sat Dec 12, 2009 2:42 am by curve

» MUSLIMAH!!!!
Mon Nov 30, 2009 11:41 pm by curve

» petua untuk hati
Mon Nov 30, 2009 11:40 pm by curve

» kerana selembar bulu mata
Mon Nov 30, 2009 11:39 pm by curve

» Rahsia Disebalik Hari
Fri Nov 27, 2009 12:03 am by curve

» Panduan Cara Makan Ikut Sunnah Nabi SAW
Thu Nov 26, 2009 11:57 pm by curve

» Rahsia Kelebihan dan Hikmah Sujud
Thu Nov 26, 2009 11:55 pm by curve

Local News

World & Science News

About Islam

Gallery



    Hukum Yang Berkaitan Penternakan Dan Jual Beli Babi @ Khinzir [siri 1/2]

    Share

    Admin
    Admin

    Posts : 26
    Points : 8282
    Join date : 09/06/2009

    Hukum Yang Berkaitan Penternakan Dan Jual Beli Babi @ Khinzir [siri 1/2]

    Post by Admin on Tue Jun 16, 2009 1:43 am

    Perlu difahami bahawa apabila Islam mengharamkan umatnya memakan daging babi maka ia sekali gus bermakna haram untuk menternaknya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih kerana selain Allah...” [TMQ Al-Maidah (5):3]. Ayat ini juga sebenarnya meng-isyarah-kan pengharaman terhadap ‘penternakan’ babi. Itulah pengertian yang dimaksudkan oleh nas yang meng-isyarah-kan hukum tersebut. Oleh kerana itu jika hukum syara’ telah secara jelas mengharamkan memakan babi maka hukum syara’ juga menjelaskan akan keharaman untuk menternaknya. Para ulama ahli usul telah menetapkan definisi bahawa dalalatul isyarah (dalil isyarat) sebagai “Kalimat yang susunannya bermaksud menerangkan suatu ketentuan hukum atau menunjukkan suatu ketetapan hukum jika di dalamnya mengandungi pengertian hukum selain yang diterangkan oleh susunan kalimat itu”. Maksudnya, bagi ketetapan ‘hukum lain’ yang tidak langsung dimaksudkan oleh kalimat tersebut, maka pengertiannya ditunjukkan dengan isyarah; itulah yang dinamakan sebagai dalil iltizam.
    Terdapat banyak contoh dalam persoalan ini, antaranya ialah firman Allah, “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka kahwinilah perempuan-perempuan lain yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki... [TMQ an-Nisa’(4):3]. Ayat ini secara jelasnya menerangkan kedudukan lelaki yang berkahwin dengan dua, tiga atau empat orang wanita. Namun demikian, ayat ini juga mengandungi isyarah yang menunjukkan ‘pembatasan’ jumlah isteri kepada empat orang sahaja, walaupun ‘ketentuan pembatasan’ itu tidak disebut secara langsung di dalam susunan ayatnya. Demikian juga halnya dengan setiap ayat yang mengandungi pengertian seperti itu walaupun ayat itu sendiri tidak langsung bermaksud menerangkan atau menunjukkan persoalannya. Pengertian itu berupa isyarah yang terkandung di dalam makna kalimat tersebut. Itulah yang dinamakan dalalatul isyarah. Dengan demikian, firman Allah yang bermaksud, “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah dan daging babi...” di dalamnya terkandung pengertian berdasarkan dalalatul iltizam yang mengharamkan aktiviti menternak babi. Sekalipun susunan kalimat ayat tersebut tidak secara langsung menerangkan pengharaman menternak atau menggembala babi, namun pengertian sedemikian itu lazim tercakup di dalam makna itu sendiri. Ini adalah kerana pengharaman makan daging babi sudah pasti juga mengandungi pengertian mengharamkan juga apa-apa perbuatan yang berkaitan dengan babi mulai dari menternak, mengembang-biakkannya, menggembalanya dan sebagainya. Tegasnya ialah, jika Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan atau melarang sesuatu, maka pengertian yang terdapat di dalam perintah dan larangan itu tidak semata-mata mengandungi makna menurut al-manthuq (teks yang diucapkan), namun termasuk juga makna yang di ambil berdasarkan dalalatul iltizam.
    Tambahan dari itu, dalam persoalan jual-beli babi pula, dinyatakan bahawa Jabir ra pernah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Allah Subhanahu wa Ta’ala mengharamkam penjualan dan pembelian arak, bangkai dan babi’. Seorang sahabat bertanya, “ Wahai Rasulullah! bagaimanakah dengan lemak babi, ia dapat digunakan untuk mengecat perahu, untuk menghaluskan kulit dan digunakan pula sebagai penerang (lampu)?’ Baginda menjawab. ‘Tidak, ia tetap haram!’ Kemudian baginda melanjutkannya lagi, ‘Allah mengutuk orang-orang Yahudi. Allah mengharamkan mereka makan lemak babi, tetapi mereka mengumpukkannya lalu menjualnya dan makan duit hasil dari penjualan khinzir” [HR Bukhari, Muslim dan Ashabul-Sunan]. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda, “Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuk orang-orang Yahudi, mereka diharamkan makan lemak babi tetapi mereka menjualnya dan makan duit hasil dari penjualan babi. Sesungguhnya bila Allah Subhanahu wa Ta’ala mengharamkan suatu kaum daripada makan sesuatu, maka diharamkan juga makan duit dari penjualannya” [HR Ahmad dan Abu Dawud].
    Babi Yang DiTernak Oleh Orang Kafir
    Keharaman babi ke atas orang Islam sudah pun jelas, tidak kiralah sama ada dagingnya, lemaknya, kulitnya atau sebagainya, termasuklah juga aktiviti menternak, memelihara, memperjualbelikan atau mengambil apa jua keuntungan dari binatang najis ini, keharamannya sudah tidak perlu dipertikaikan lagi. Yang masih menjadi kekeliruan atau persoalan kepada sebahagian dari umat Islam adalah ketentuan berkaitan hukum babi ini ke atas orang kafir, khususnya aktiviti menternak atau memperjualbelikannya. Sebelum menjelaskan hukum-hakam yang berkaitan, marilah kita sama-sama melihat bagaimana pemimpin-pemimpin Islam terdahulu yang jauh lebih mulia dari pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, menangani masalah binatang haram ini dalam pemerintahan mereka.
    Abu Umamah meriwayatkan bahawasanya Khalifah Umar Al-Khattab ra pernah berkata, “Berlatihlah ketangkasan berkuda, berhati-hatilah dan jangan kamu berakhlak seperti orang-orang ‘ajam (orang bukan Isam), jangan mendekati khinzir atau menegakkan salib di antara orang-orang Muslim”. Laits bin Abi Sulaim meriwayatkan bahawasanya Khalifah Umar ra pernah menulis surat kepada penguasa daerah dan memerintahkan mereka supaya membunuh khinzir dan membayar ganti rugi dengan mengurangkan pembayaran jizyah (bayaran yang wajib dibayar oleh kafir zimmi kepada Daulah Islam). Semuanya itu menunjukkan bahawa kaum Muslimin mahupun kafir zimmi dilarang memelihara atau pun melakukan perdagangan babi baik di dalam negeri mahupun dengan pihak luar negara. Diriwayatkan juga bahawa Khalifah Umar Al-Khatab mengecam Samurah bin Jundub yang mahu menerima pembayaran kharaj dan jizyah dari kafir zimmi yang berupa hasil penjualan arak dan khinzir. Ketika itu Khalifah Umar berkata dengan tegas, “Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuk Samurah iaitu pegawai kami di Iraq kerana dia mencampurkan harga arak dan khinzir ke dalam belanjawan hak kaum Muslimin itu. Arak dan khinzir adalah haram dan hasilnya juga adalah haram!” (Lihat kitab Musannaf, Abdurrazzaq Jilid VI halaman 75 dan jilid X halaman 196). Lebih jauh dari itu Khalifah Umar berkata, “Tidak halal berjualbeli sesuatu yang tidak dihalalkan memakan dan meminumnya” [Sunan Al-Baihaqi 6/14].
    Oleh kerana itulah, kita dapati bahawa Khalifah Umar ra menetapkan syarat bagi kafir zimmi agar tidak membiarkan khinzir milik mereka berkeliaran di jalan-jalan tempat lalu lintas kaum Muslimin. Kemudian beliau mengambil tindakan yang lebih keras lagi iaitu memerintahkan pembunuhan khinzir yang ada pada kafir zimmi dan membayar penggantian harganya dengan dipotong dari jizyah yang wajib mereka bayar kepada Daulah. Semua yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khatab ra memperkuatkan lagi mafhum ayat tentang keharaman segala jenis aktiviti yang terkait dengan khinzir, termasuk penternakan. Dalam suratnya yang dikirimkan kepada pemerintah-pemerintah daerah, beliau mengatakan antara lainnya “Jangan ada seekor khinzir yang berdekatan dengan kamu, jangan ada orang-orang Nasrani di antara kamu yang menegakkan salib-salibnya dan jangan menghadiri jamuan makan yang di dalamnya ada orang yang minum arak. Berlatihlah menunggang kuda dan belajarlah memanah”. Apa yang diperintah oleh Khalifah Umar itu tidak dibantah oleh seorang sahabat pun. Mereka sepakat bersetuju dengan tindakan Umar yang melarang penternakan khinzir dan tidak membolehkan seorang Muslim ataupun kafir zimmi memelihara khinzir di dalam Daulah Islam.
    Ibnu Abbas berpendapat bahawa kafir zimmi mesti dilarang memiliki, memelihara dan memperjual-belikan khinzir. Sebuah riwayat yang berasal dari Ibnu Abbas sendiri menerangkan ketika dia ditanya tentang orang ‘ajam (orang kafir non-Arab), “Apakah mereka boleh membangunkan kuil dan gereja di daerah-daerah/bandar yang dibangunkan oleh orang-orang Arab (Islam)? (jawabnya) ‘Mereka tidak dibolehkan membangunkan kuil atau gereja, tidak boleh memperlihatkan arak dan tidak boleh memelihara khinzir”. Ibnu Abbas berpendapat kafir zimmi yang bermukim di daerah-daerah kaum Muslimin dilarang memelihara khinzir, samalah dengan pendapat Khalifah Umar Al-Khatab ra. Kedua-dua pendapat mereka ini telah dipersetujui para sahabat dan kita perlu faham bahawa adalah sesuatu yang mustahil bagi para sahabat (secara ijmak) bersetuju/bersepakat di atas ketentuan sesuatu hukum kecuali setelah mereka mengetahui dan memahami dalil syar’i yang berasal dari Al-Quran atau pun dari ucapan, perbuatan mahu pun taqrir Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.
    Dengan penjelasan di atas maka adalah jelas bahawa secara amnya memelihara atau menternak khinzir adalah diharamkan bagi kaum Muslimin, Nasrani, Yahudi dan kaum musyrikin serta atheis yang ada di dalam Negara Islam. Oleh kerana itu penternakan dan perdagangan khinzir di Negara Islam, baik yang dilakukan oleh kaum Muslimin mahupun kafir adalah dilarang tetapi dibenarkan bagi orang kafir untuk kegunaan mereka sendiri sahaja dan dalam kuantiti yang terbatas. Mereka dibenarkan memakan (termasuk berjual beli - sesama mereka sahaja) atau memelihara binatang najis ini (untuk kegunaan sendiri), tetapi dalam jumlah yang kecil sahaja dan langsung tidak dibenarkan ke atas mereka menternak atau memperdagangkan benda haram ini dalam skala yang sederhana mahupun besar (sebagaimana berlaku sekarang). Dalam hal ini kita perlu faham bahawa, meskipun orang kafir memandang yang meminum arak dan makan babi dibolehkan oleh agama mereka, tetapi ia tetap tertakluk kepada undang-undang Islam yang merupakan ‘undang-undang negara’ tempat mereka hidup/tinggal. Perintah Khalifah wajib mereka taati. Negara Islam adalah negara yang mana hukum Allah wajib diberlakukan di dalamnya, termasuklah ke atas orang-orang kafir sekalipun. Kafir zimmi dan mana-mana orang kafir yang dibenarkan tinggal di dalam Daulah adalah golongan yang wajib tunduk kepada semua hukum Allah yang menjadi hukum (undang-undang) Daulah Islam, kecuali beberapa perkara yang dibenarkan oleh Islam ke atas mereka sahaja. ..bersambung siri 2/2

    Admin
    Admin

    Posts : 26
    Points : 8282
    Join date : 09/06/2009

    Hukum Yang Berkaitan Penternakan Dan Jual Beli Babi @ Khinzir [siri 2/2]

    Post by Admin on Tue Jun 16, 2009 1:44 am

    Apa Tindakan Kita?
    Hakikat yang terpaksa kita hadapi sekarang adalah aktiviti penternakan babi haram ini telah pun wujud dan ‘merajalela’ di dalam Negara Islam Hadhari ini. Dilaporkan bahawa jumlah ladang ternakan babi di seluruh negara setakat ini adalah sebanyak 870 buah yang mana 666 adalah di Semenanjung, 53 (Sabah) dan 151 (Sarawak). Jumlah pengeluaran daging babi pada tahun 2006 pula ialah 210,510 tan, melebihi keperluan masyarakat bukan Islam tempatan iaitu hanya 197,513 tan. Menurut perangkaan yang dikeluarkan menerusi laman web Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), lebihan pengeluaran itu ialah sebanyak 12,997 tan. Perangkaan pada tahun itu menunjukkan wujud perbezaan ketara dengan pengeluaran daging lembu di negara ini yang hanya berjumlah 31,885 tan. Jumlah itu adalah amat sedikit berbanding permintaan besar terhadap daging lembu oleh orang ramai iaitu sebanyak 146,373 tan. Dalam pada itu, perangkaan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) pula menunjukkan nilai pengeluaran daging babi di Malaysia adalah lebih besar berbanding lembu dan kambing. Jumlah ternakan babi pula ialah 1.8 juta ekor iaitu 1.5 juta di Semenanjung Malaysia, 70,000 di Sabah dan 290,000 di Sarawak [UM 15/04/08].
    Begitulah hebatnya statistik babi di negara ini. Dengan teknologi moden yang akan di bawa ke Selangor yang bakal menelan belanja hingga RM100 juta, tidak mustahil jumlah binatang haram ini akan terus bertambah. Bagi yang prihatin, memang tersirap darah dibuatnya dengan statistik yang dibentangkan. Apa tidaknya, dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim, tetapi jumlah pengeluaran daging lembu dan kambing jauh lebih rendah berbanding jumlah pengeluaran binatang haram tersebut. Walaupun secara emosinya darah kita naik dek situasi ini, namun, sebagai seorang Muslim, diri kita hendaklah dipandu mengikut hukum syarak, bukannya emosi semata-mata. Umat Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia umumnya juga sepatutnya bukan hanya sekadar sensitif dengan isu babi tetapi mereka juga sepatutnya peka dengan isu kilang arak Carlsberg di Shah Alam dan juga Guinness Stout di Petaling Jaya, kasino judi di Genting Highland, bank-bank riba yang tinggi menjulang dan juga lain-lain pusat maksiat yang bersepah-sepah di negara ini. Umat Islam juga mestilah sedar dan peka apabila melihat bangunan Parlimen dan bangunan Dewan Undangan Negeri yang tersergam megah yang mana sesungguhnya inilah antara (tempat) punca dan pusat maksiat terbesar di Malaysia di mana dari sinilah segala keharaman yang ada di Malaysia telah ‘diluluskan’ dengan jayanya.
    Wahai Kaum Muslimin! Isu babi ini hanyalah secebis dari malapetaka penerapan hukum kufur yang dilaksanakan di negara umat Islam. Kita sudah lama hidup dalam sistem yang penuh keburukan dan kehinaan ini. Justeru, persoalan dan kewajiban kita sekarang adalah bagaimana untuk mengubah keadaan buruk ini kepada keadaan yang diredhai oleh Allah. Isu binatang jijik ini adalah isu bagi seluruh umat Islam yang wajib ditangani oleh semua pihak yang memiliki akidah Islam. Setiap Muslim mestilah menanggapi isu ini dengan kesatuan pemikiran dan perasaan yang lahir dari aqidah dan hukum-hakam Islam. Bagi para mufti yang ada, janganlah hanya terus selesa duduk di kerusi empuk dengan dikelilingi kitab-kitab fikih yang tersusun rapi di rak-rak kayu jati yang beribu harganya. Beleklah kitab-kitab tersebut dan lihatlah hukum Allah yang dibawa oleh para Khalifah Rasyidun dan ulama terdahulu tentang hukum penternakan dan perdagangan babi di dalam sebuah negara Islam. Bagi mereka yang pakar dalam alam sekitar, buatlah kajian dan turunlah ke lapangan serta dedahkan dan hebahkanlah segala kesan buruk dari penternakan babi ini kepada masyarakat dan penguasa. Bagi media arus perdana, janganlah hanya terus-menerus memperhambakan diri kepada parti pemerintah dengan memperbesar-besarkan isu babi ini dalam rangka memburukkan ‘musuh’ sang penguasa pusat. Dedahkanlah segala kejijikan tentang babi, terangkanlah segala keburukan dari segi ekosistem dan siarkanlah segala pandangan Islam tentang binatang muka bermuncung ini agar hukum-hukum Allah diketahui oleh semua orang termasuklah orang-orang kafir. Mudah-mudahan mereka beroleh hidayah.
    Yang paling penting adalah bagi mereka yang berkuasa, lihatlah apa yang dikehendaki (hukum) Allah dalam masalah ini, bukan melihat apa yang dikehendaki oleh penternak, pedagang atau penggemar babi. Kepada yang memegang kekuasaan, sampai bilakah kalian akan terus meletakkan Deen Allah di bawah kehendak orang-orang kafir? Sampai bilakah kalian akan terus memerintah atas asas kerjasama dengan orang-orang kafir dengan melaksanakan apa jua undang-undang atau polisi yang disukai oleh orang-orang kafir, walaupun jelas-jelas kalian telah melanggar hukum Allah? Apa jua pakatan dan kerjasama yang kalian lakukan dengan orang-orang kafir hanyalah akan ‘menyempitkan’ kehidupan kalian dan akan membuatkan kalian terus tersepit. Lebih penting, kalian hanya akan mengundang murka Allah di dunia dan akhirat. Pemimpin pusat yang beragama Islam mahupun pemimpin negeri yang juga beragama Islam perlulah melihat bahawa isu ini adalah isu Islam dan ia adalah isu bersama umat Islam. Azab Allah akan menanti kalian jika kalian membelakangkan hukum Allah dalam apa jua masalah. Ratusan juta yang kalian belanjakan, jika tidak kerana Allah, maka penyesalan jualah yang akan menunggu kalian di akhirat kelak. Alangkah mulianya jika wang ratusan juta itu dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah, daripada dibelanjakan ke jalan yang diredhai oleh orang-orang kafir. Mengapa akal dan kudrat yang ada diperah dan diguna untuk berfikir dan bersungguh-sungguh berusaha bagi memoden dan ‘mengindahkan’ sesuatu yang haram, walhal akal tersebut sepatutnya diguna untuk memahami hukum-hukum Allah dan kudrat itu wajib diguna untuk bersungguh-sungguh berusaha untuk meninggikan syiar Allah. Amat malang sekali apabila babi yang menjadi ‘syiar’ bagi orang-orang kafir dijaga rapi, manakala hukum-hukum Allah yang menjadi syiar Islam diketepi.
    Khatimah
    Wahai kaum Muslimin! Di dalam Negara Islam, syiar kufur seperti ladang ternakan babi ini tidak boleh wujud atau dibenarkan beroperasi. Syiar Islamlah yang satu-satunya wajib ditonjolkan dan syiar kufur wajib dihapuskan. Mengapakah pemimpin Islam sekarang perlu terus ‘membela’ atau ‘menjaga’ binatang haram ini walhal pemimpin Islam yang terdahulu telah pun menghapuskannya. Bahkan, Nabi Allah yang akan datang nanti pun akan turut menghapuskan binatang najis ini. Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, sungguh akan turun di tengah kalian Ibnu Maryam (Isa) as sebagai hakim yang adil. Ia akan memecahkan salib-salib, membunuh babi-babi dan menggugurkan jizyah serta membagikan harta hingga tidak ada yang menerimanya seorang pun” [HR Bukhari & Muslim]. Berdasarkan hadis ini, adalah tidak mustahil bahawa babi yang diternak di ladang ternakan moden yang bernilai RM100 juta nanti pun (termasuklah 870 buah ladang dan 1.8 juta ekor babi yang ada di Malaysia - jika masih wujud di kala itu) adalah termasuk di dalam babi-babi yang akan dimusnahkan oleh Nabi Allah Isa as. Jika Nabi Isa as akan diturunkan oleh Allah untuk antara lainnya memusnahkan babi, mengapa pula pemimpin yang ada perlu terus mewujud dan memodenkannya? Saudaraku, yakin dan ketahuilah bahawa apabila munculnya seorang Khalifah nanti dan syariat Islam diterapkan secara kaffah, maka segala kebatilan dan kekufuran yang ada akan hancur musnah. Dan hakikat ini Insya Allah hanya akan dapat dicapai dengan kerjasama dari semua pihak untuk berusaha menegakkan semula Daulah Khilafah yang mana apabila tertegaknya institusi politik agung umat Islam ini, maka kemenangan dan pertolongan Allah akan terus tercurah ke atas kita dan pada waktu ini, orang-orang kafir akan masuk ke dalam agama Allah secara berbondong-bondong, Insya Allah.

      Current date/time is Wed Dec 07, 2016 3:50 am